Monday, February 6, 2017

Pregnancy Journal #3 - First Trimester

Pengalaman orang mengandung berbeza-beza. Jadi jangan pulak lu orang rasa seram sejuk bila baca kisah aku kalini. Ada je golongan bernasib baik yang tak ada sebarang kesukaran sepanjang 40 minggu mengandung. Ada jugak yang sepanjang mengandung tu macam-macam dugaan melanda. 

Aku antara orang yang diuji dengan agak hebat masa 3 bulan pertama kandungan. Tapi syukur, sepanjang 8 minggu pertama tu aku tak ada sebarang masalah sebab aku bersendirian di KL. Semua dugaan ni bermula bila aku balik bertugas di Johor, bermakna tempoh PJJ dah tamat. Kesimpulannya, baby aku bermanja bila abahnya ada! 



Kembali ke Johor pertengahan Ogos 2016. Usia kandungan - 7 minggu



Morning Sickness

Aku punya mabuk atau morning sickness boleh diklasifikasikan dalam kes agak teruk. Aku mula mabuk menjelang minggu ke-8, seminggu lepas aku balik ke Johor. Ada macam-macam andaian kepada punca aku mula mabuk ni. Ada yang kata:

  • aku mabuk sebab tak suka bau badan suami
  • aku mabuk sebab ada satu benda yang aku sebenarnya suka masa belum mengandung, tapi jadi benci bila dah mengandung
  • aku mabuk sebab saja nak bermanja bila dah dekat dengan suami
  • aku mabuk sebab aku mengandung anak lelaki
  • aku mabuk sebab aku mengandung anak perempuan

Tapi, aku pulak rasa semua andaian (cakap-cakap orang) tu tak boleh pakai! Aku mabuk sebab aku mengandung la...badan tengah sesuaikan diri dengan perubahan hormon. Jadi sistem badan dalam keadaan confuse. Oleh sebab aku mabuk agak teruk, sampai tak larat nak bangun (bila kes mabuk teruk), aku pun banyak ambik cuti sakit dari kerja. Bila ada hari-hari tertentu yang mabuk aku dahsyat, memang aku akan muntah walau minum air kosong sekali pun. 

Nasik dan lauk tak payah cerita la, memang tak boleh makan langsung! Bau pun tak boleh! Jadi aku bergantung sepenuhnya pada buah-buahan dan milo panas. Tu sahaja yang tekak aku boleh terima. Masa tu, peti sejuk dekat rumah dah macam kedai jual buah. Penuh dengan bermacam jenis buah-buahan. Favourite masa tu - jambu batu, jambu air, anggur, pisang. 

Tapi, ada jugak hari-hari tertentu terutamanya hari Ahad (hari tak kerja) yang mana aku tak mabuk langsung dan boleh makan macam orang normal. Pelik tak?

Hasilnya - menjelang penghujung trimester pertama, aku turun 3 ke 4 kg berat!

Tapi tetap syukur, walaupun aku mabuk teruk - aku masih berjaya mengekalkan tekanan darah dan kiraan hemoglobin normal!



Buku Merah

Walaupun agak ramai yang berpandangan negatif pada Buku Merah Klinik Kesihatan Kerajaan, aku memilih untuk bukak buku merah. Sebab paling utama, aku belum decide nak beranak dekat mana dan jugak untuk menjimatkan kos. Aku tak kisah orang nak label aku kedekut. Memang duit boleh dicari tapi bagi aku - nak cari duit tu bukan semudah 3 saat, jadi kena sentiasa beringat. 

Aku tak tahu apa syarat-syarat untuk bukak Buku Merah ni. Jadi aku pun telefon Klinik Kesihatan Bandar Penawar. Aku ditanya macam-macam soalan tapi kesimpulannya untuk bukak Buku Merah kena ada dokumen-dokumen berikut:

  1. Kad Pengenalan sendiri
  2. Salinan Kad Pengenalan Suami
  3. Salinan Sijil Nikah/Kad Nikah
  4. Filem imbasan pengesahan kehamilan

Nurse bagitahu yang seeloknya Buku Merah perlu dibukak sebelum kandungan mencecah 12 minggu. Masa aku bukak Buku Merah, kandungan aku 9 minggu. Klinik Kesihatan Kerajaan ni selalunya akan tetapkan hari-hari tertentu untuk lawatan ibu mengandung ke klinik ibu dan anak mengikut zon kawasan tempat tinggal. Aku bernasib baik sebab zon aku dapat giliran hari Ahad atau Selasa. Mestilah aku pilih hari Ahad sebab tu je hari aku cuti!

Aku ada baca jugak pengalaman tak best orang masa bukak Buku Merah di klinik lain. Syukur perjalanan aku nak bukak buku merah ni lancar. Memang mula-mula aku terpinga-pinga tak tahu nak buat apa, tapi semua nurse mesra rakyat dan bagi bantuan yang best!

  • Mula-mula ambik no. giliran untuk Klinik Ibu dan Anak dan kepilkan IC untuk bukak buku merah
  • Bila no. giliran dipanggil, kena jawab soalan-soalan pasal bila tarikh period terakhir, bila kahwin, suami merokok ke tak, lu orang merokok ke tak
  • Lepas tu pergi ke makmal untuk test air kencing dan darah
  • Lepas tu pergi ke bahagian temu bual untuk dia tanya soalan-soalan lagi
  • Lepas tu pergi ke bahagian pemeriksaan untuk dia buat pegang-pegang pemeriksaan perut dan payudara
  • Lepas tu pergi pemeriksaan gigi

SIAP!

Pengalaman aku, proses ni semua makan masa tak sampai sejam.



MGTT/Air Gula

Lepas bukak Buku Merah, nurse akan siap-siap bagi tarikh untuk temujanji akan datang DAN akan bagitahu sama ada lu orang perlu menjalani ujian air gula atau MGTT ke tak. Ujian ni adalah untuk tahu sama ada lu orang ada kencing manis ke tak. Bagi kes orang terlebih berat macam aku (BMI lebih 27.0), aku memang confirm kena minum air gula. 

Antara sebab-sebab lain yang memerlukan lu orang minum air gula (mengikut peraturan Klinik Kesihatan Kerajaan):

  • Ada sejarah kencing manis dalam keluarga - ibu atau ayah
  • BMI lebih dari 27
  • Umur masa mengandung lebih dari 28 tahun


Dekat Klinik Kesihatan Kerajaan ni, orang yang kena minum air gula akan perlu menjalani ujian ni 2 kali sepanjang kehamilan. Pertama masa trimester pertama dan sekali lagi masa masuk trimester ketiga.

Peraturan/tips minum air gula:


  1. Kena mula berpuasa (jangan makan dan minum manis) mulai 10 malam hari sebelum ujian. Boleh minum air kosong.
  2. Datang klinik seawal yang mungkin (paling awal 8 pagi)
  3. Ambil sampel darah sebelum minum air gula
  4. Minum air gula dalam keadaan hangat-hangat. Makin sejuk makin pekat dan makin susah nak ditelan
  5. Jangan muntah. Kalau muntah jugak, kena ulang ujian hari lain
  6. Tunggu 2 jam. Masa ni akan mula pening-pening lalat. Jadi bawak handphone atau apa-apa yang boleh buat lu orang rasa 2 jam berlalu macam tu je. Dilarang meninggalkan kawasan klinik sepanjang 2 jam tu.
  7. Ambil sampel darah selepas 2 jam berakhir
  8. Tahniah! Anda dah boleh makan dan minum macam manusia normal

Keputusan ujian tak keluar haritu jugak. Lu orang boleh terus balik. Kalau memang sah ada kencing manis, klinik akan call lu orang. Tapi kalau lu orang tak dapat apa-apa call, maksudnya lu orang sihat.


Sumber: Web ni


Keputusan MGTT pertama aku - NORMAL



Bleeding/Pendarahan Semasa Hamil

Aku seram bila sebut pasal pendarahan ni. Maklumlah, dah merasa mengandung tak jadi dulu. Dan pengalaman trimester pertama aku - aku turut diuji dengan masalah pendarahan ni. Kadang-kadang sikit je, kadang-kadang banyak dan membimbangkan! Jadi setiap kali aku ada pendarahan, aku cepat-cepat akan jumpa doktor.

Pertama kali aku bleeding masa aku baru mengandung 8 minggu. Mula-mula keluar discharge atau lendir warna coklat je. Tiba-tiba bila aku biar, keluar pulak darah merah jambu ke merah pekat macam period hari ke-3. Aku punya tahap cemas sampai nangis-nangis! Jadi suami aku pun ajak aku ke KPJ Puteri Johor. Masa tu aku berjumpa dengan Dr. Nooraini.

Hui! Tak dapat aku lupakan macam mana perasaan masa aku di-swab untuk Doktor periksa apa yang sebabkan aku bleeding. Pedih! Tapi aku tahankan dan berharap agar baby selamat. Syukur semua selamat. Doktor kata ini semua sebab implantation bleeding atau pendarahan sebab fetus cuba melekap ke dinding rahim. 

Bermula dari situ, ada banyak lagi episod pendarahan yang menyebabkan trimester pertama aku mendatangkan rasa gundah-gulana. Bila bleeding tu sikit-sikit je, aku boleh bertenang. Tapi bila penuh satu pad, aku jadi sasau semula. Jumpa lagi doktor, baby selamat! Tapi sebagai langkah berjaga-jaga, aku kena makan Duphaston untuk menguatkan rahim sampai tamat trimester pertama.

Kisah aku dan pendarahan tak tamat sekadar trimester pertama. Aku akan cerita lagi kisah yang lebih seram dalam edisi trimester kedua.

No comments:

Post a Comment