Monday, January 23, 2017

TTC Journal #1 - Specialist Consultation

Trying to Conceive – Cuba untuk Hamil

Aku yakin, perkara ni merupakan suatu cabaran terhebat bagi sesetengah wanita – khususnya yang dah lebih setahun berkahwin. Aku sendiri merupakan salah seorang wanita yang diuji. Menjelang anniversary perkahwinan aku yang pertama, telinga aku bagaikan bengkak mendengar soalan demi soalan perihal zuriat dan kesuburan.

Terlalu banyak mulut yang menuding jari pada kelasakkan career aku sebagai pekerja projek pembinaan yang menjadi sebab pada ketidak hamilan aku. Lenguh liang airmata aku memproses takungan airmata yang terlalu kerap bocor dek kerana tekanan.

Apatah lagi bila melihatkan rata-rata kenalan menyambut ulangtahun perkahwinan pertama di samping bayi comel. Hadiah ulangtahun terindah katanya! Sedangkan aku, berterusan sedih dan bertanda-tanya – bila masa aku akan tiba?



Penantian cukup kitaran hari bulanan cukup menyeksakan. Aku bukan seorang wanita yang bermasalah dengan kedatangan bulan. Semuanya normal dengan kitaran 27-28 hari sebulan. Tapi kemunculan line T di Urine Pregnancy Test tetap tidak kunjung tiba.

Aku bertambah tertekan bila mengenangkan umur suami aku yang menginjak ke siri ke-3. Setiap kali bersua muka dengan kawan-kawan sebaya dia, masing-masing dah beranak-pinak. Sedangkan dia? Hanya tersengih selamba. Terima kasih kerana bersabar!

Penghujung 2015, aku ditugaskan secara sementara ke bandaraya metropolitan Kuala Lumpur untuk menguruskan perihal kontrak projek baru. Hati aku bengkak lagi! Ah, dalam aku cuba untuk hamil – aku ditakdirkan untuk berjauhan dengan suami. Pada masa tu aku baru 10 bulan berkahwin.




Ambang 2016 di Kuala Lumpur



Tapi 98% kenalan yang berkahwin pada masa yang hamper sama dengan aku sudah memboyot dengan jayanya. Setiap perkembangan kehamilan di-update dalam Facebook dan Instagram. Tentang harini mengidam makan apa, tentang manisnya suami memberikan kejutan itu-ini kerana hamil, tentang hasil imbasan bayi secomel ibu atau ayah. Sungguh aku cemburu!

Aku pun mengambil langkah drastik untuk menyahaktifkan akaun Facebook aku. Sungguh, sedih aku tak tertanggung. Dalam aku bersendirian di KL, aku bertemankan airmata dan duka. Sehingga aku risau kalau-kalau hati ini kufur pada kurniaan Allah yang lain. Walaupun tanpa Facebook bermakna aku akan terputus hubungan dengan ramai kawan, aku lebih sanggup menjaga kesihatan hati aku sendiri. Lagipun aku tak perlu risau tentang kewujudan rakan alam maya yang entah ingat lagi siapa aku atau tidak.

Yang penting – True Friends Never Forget

Jadi sampai ke harini aku masih berjaya keep in touch dengan kawan yang benar-benar kawan. Aku bersyukur untuk itu!

Januari 2016, aku mengambil keputusan untuk mendapatkan nasihat pakar. Itu merupakan antara keputusan terbesar yang pernah aku ambik. Risikonya – jika diputuskan akulah yang bermasalah, aku mungkin akan dirundung duka berpanjangan. Faedahnya – jika masalah itu boleh diatasi, mungkin zuriat itu akan menjadi milik aku.

Proses survey khidmat terbaik dan termampu di Johor bermula. Rata-rata menyarankan aku untuk mendapatkan khidmat seorang doktor pakar lelaki di hospital terkemuka Johor. Aku ragu-ragu lalu menidakkan saranan itu sebab aku tak selesa untuk berbicara tentang hal wanita dengan lelaki asing. Ditambah dengan faktor kewangan.

Akhirnya aku memutuskan untuk ke Kulai berjumpa dengan seorang doktor perempuan bernama Dr. Hong di Hong Women Specialist Clinic. Kos setiap kali konsultasi di bawah RM200. Agak ramai jugak pengunjung klinik ni. Boleh rujuk page ni.



Gambar ihsan Google



Mungkin kerana nak mengejar waktu supaya semua pengunjung dapat dilayan, respon Dr. Hong dalam kes aku agak direct dan sedikit menusuk kalbu. Aku tak berapa ingat butir-butir perbualan tapi ringkasannya macam ni lah:

“OH YOU TAK ADA TELUR! DUA-DUA KANTUNG TELUR ATAU OVARI YOU TAK ADA TELUR! MEMANG TAK BOLEH PREGNANT!”

Statement pertama daripada Dr. Hong bagaikan menyiat hati aku. Mimpi ngeri menjadi nyata. Aku cuba bertanya:

“TELUR TAK ADA ATAU KECIL DOKTOR? SEBAB I ADA GOOGLE TENTANG PCOS YANG BOLEH SEBABKAN TELUR TAK MATANG.”

Dr. Hong dengan yakin menjawab:

“YOU BUKAN PCOS. YOU PERIOD BULAN2 PUN NORMAL. TAPI YOU TAK ADA TELUR. KANTUNG YOU KOSONG. I TAK TAHU KENAPA. SATU LAGI, RAHIM YOU RETROVERT. ORANG SEBUT RAHIM TERBALIK. DALAM KES YOU, KEDUDUKAN MACAM NI MEMANG SUSAH UNTUK PREGNANT SEBAB SPERM RETENTION LOWER. TAMBAH PULAK YOU TAK ADA TELUR, JADI MEMANG TAK BOLEH PREGNANT LA”

Sekali lagi aku tersentap. Masa tu aku rasa macam semuanya dah berakhir. Macam-macam soalan ditanyakan pada aku untuk mengesahkan lagi diagnosis awal doktor tu. Dan akhirnya aku terpaksa akur dengan kesimpulan appointment pertama tu. Aku dibekalkan dengan Folic Acid dan Chlomid, sejenis ubat subur. 

Bermula dari episod tu, aku terus berharap!

No comments:

Post a Comment