Thursday, April 6, 2017

Kisah Bersalin Secara Emergency LSCS

Aku dah bersalin 14 Mac 2017 haritu. Yes. Lu orang tak salah baca. Aku memang bersalin awal daripada due date aku yang sepatutnya – 1 April 2017. Tapi tulah, manusia kan mampu merancang je. Apa yang betul-betul terjadi berdasarkan planning cantik Tuhan Yang Maha Esa. Harini, genap 24 hari Affan dilahirkan ke dunia ni.

Kalau lu orang ingat, aku pernah cerita pasal aku pesan dekat baby aku untuk keluar secara normal – supaya ada budget lebih untuk beli peti sejuk. HAHAHA. Tapi, sekali lagi perancangan tak menjadi. Affan keluar secara Emergency Lower Section Caesarean Section.

Post kalini agak panjang sebab aku akan cerita kisah aku bersalin yang mana kronologinya bermula sejak 11 Mac 2017. Kalau lu orang sudi nak baca, klik bawah ni.





11 Mac 2017 – Sabtu

Kandungan aku genap 37 minggu. Kiranya baby dah diklasifikasikan sebagai full term atau matang. Sepatutnya hari Sabtu aku kerja. Tapi semalaman aku tak boleh tidur. Pinggang aku cramp lebih daripada biasa. Lepastu ada rasa tak selesa di bawah ittew macam ada sebijik bola boling yang tergantung. Bila aku cuba nak bangun je rasa macam lenguh sangat-sangat bahagian bawah ittew. Apatah lagi bila berjalan. Mengenangkan aku kena naik tangga bas dan berjalan untuk kerja, aku ambik keputusan untuk skip kerja.

Sebelum Subuh, aku ke tandas. Masa tengah kencing, aku perasan macam ada satu ketulan aneh masuk dalam lubang tandas. Daripada pengamatan kelat-kelat mata aku, aku simpulkan bahawa ketulan tu macam keputihan yang kering cuma warnanya lebih coklat daripada biasa. Ala-ala gula tarik gitu. Masa tu, hati kecik aku dah terdetik – aku dah nak bersalin ke?

Haritu aku cuma bermalasan di rumah dengan suami aku. Sambil tu, aku berjaga-jaga jugak dengan sebarang bentuk lendir yang keluar dari bawah ittew. Dan terbukti, keputihan normal aku berubah warna ke coklat dan pink sikit. Memandangkan esoknya (Ahad) aku ada appointment dekat KK Bandar Penawar – aku putuskan untuk buat dek saja.



12 Mac 2017 – Ahad

Pemeriksaan kandungan mingguan di KK Bandar Penawar. Semuanya macam biasa. Aku dah boleh berjalan normal macam penguin. Lendir coklat masih ada tapi dah berkurangan. Masa dalam sesi pemeriksaan, jururawat duk bercerita tentang tanda-tanda nak beranak. Entah kenapa masa tu dalam hati aku duk kata, minggu depan aku takkan datang untuk check up lagi dah. Tapi aku pendamkan je rasa hati aku tu.

Bila aku cerita perihal keluar lendir coklat dengan nurse, dia macam terperanjat sebab aku cerita dengan selamba. Berkali-kali dia suruh aku hati-hati dan peka dengan tanda-tanda lain.

Balik dari Klinik, suami aku tanya apa aku nak makan untuk sarapan. Oh ya, aku ni memang jenis pergi Klinik dulu baru sarapan – sebagai langkah memastikan berat tak terlebih masa timbang. Ahahaha! Pasal sarapan tu, aku cakap dengan suami aku yang aku nak makan Nugget ikan Marina yang aku beli hari Jumaat lepas. Aku tak pernah pun makan Nugget tu tapi entah kenapa tetiba aku teringin sangat.

Perancangan asal, kitorang nak duduk rumah je harini. Tapi entah kenapa, hati aku meronta-ronta nak merayau ke Johor Premium Outlets (JPO). Bukan ada apa nak dibeli pun. Cuma nak merayau je. Mujur, impian ibu mengandung direalisasikan. Dalam pukul 1 tengahari, aku dan suami menempuh perjalanan hampir 100km hanya untuk ke JPO.

Sampai di JPO, macam aku cakap – aku memang tak ada nak beli apa pun. Literally, aku cuma berjalan-jalan saja. Suami aku pun penat melayankan. Banyak kali jugak suami aku tanya “TAKNAK BERHENTI DUDUK DULU KE?” tapi aku dengan gagahnya tawaf satu JPO tanpa berhenti sikit pun. Semua kedai yang jual baju baby aku masuk tapi tak ada satu apa pun aku beli. Akhir sekali, untuk memastikan perjalan hampir 100km kitorang tu sia-sia – aku pun beli coklat yang sedap ni.



Dalam perjalanan balik, suami aku bawak aku makan di satu Restoran Siam ni. Sepatutnya masa tu restoran tu dalam waktu rehat, tapi mungkin sebab nampak aku yang sarat ni – kitorang dilayan. Rezeki baby.

Lepastu kitorang balik.



13 Mac 2017 – Isnin

Bangun pagi macam biasa, aku dapati lendir coklat masih ada tapi sikitttt sangat. Kesukaran untuk berjalan semua dah hilang. Aku rasa sangat sihat dan bahagia. Jadi aku pun pergi kerja macam biasa. Sampai pejabat, mood kerja tak berapa nak ada. Jadi aku mula mengemas meja sikit-sikit. Lepas tu berborak dengan orang pejabat dekat pantry.

Dalam pada berborak tu, aku dengan rakan ofis pun bincang pasal makan-makan esoknya. Aku ditugaskan bawak jambu batu dengan serbuk asam kulit limau. Entah kenapa hati aku berkata – ADA POTENSI JAMBU DENGAN ASAM TAK SAMPAI OFIS ESOK NI. Tapi aku diamkan je naluri aku tu.

Masa dalam perjalanan balik Rumah, turun je dari bas perut aku terasa berat sangat. Lagi sekali aku susah nak berjalan. Macam ada sebijik bola boling betul-betul di celah kelangkang. Senak pinggang tak payah nak cakap la. Masa tu ada sorang penumpang perempuan bas ni tegur:

“BILA U DUE NI?” soal dia
“1 APRIL…” aku jawab
“OH OK. SEE U TOMORROW.” kata dia lagi
Aku senyum je. Dalam hati aku sekali lagi rasa yang aku takkan kerja esok.

Sepanjang perjalanan dalam bas tadi, aku terlalu teringin nak makan telur goreng masak kicap. Selalunya, aku boleh je abaikan selera aku. Bahkan, dah agak lama aku tak makan nasik malam-malam untuk mengelakkan berat aku naik mendadak dan merbahaya kepada baby. Tapi masa tu, keinginan aku membuak. Sampai je rumah, aku terus masak nasik. Dan malam tu, aku dan suami makan malam nasik berlaukkan telur goreng masak kicap. Dan aku sungguh bahagia. Kah3

By the way, suami aku dah pun belikan 8 bijik jambu batu dengan serbuk asam limau dari Desaru Fruits Farm. Tergerak jugak hati aku untuk makan jambu tu sebijik tapi rasa tak patut. Jadi aku pendamkan je hasrat hati aku. Lepas tu aku tidur.



14 Mac 2017 – Selasa

Masa tu jam baru pukul 12.30 pagi. Aku tersedar dari tidur sebab rasa macam ada sesuatu mengalir di celah kelengkang bila aku cuba tukar posisi tidur. EH AKU NI NGOMPOL (kencing malam) KE? Perlahan-lahan aku bangun dari katil, kononnya nak cover line kalau aku betul-betul ngompol – suami aku takkan tahu dan rahsia ni aku simpan sorang je. Jadi dalam aku nak ke tandas tu, aku cuba tahan kencing tapi tetap ada cecair mengalir. Aku agak mungkin sebab dah banyak yang aku kencingkan atas katil tadi, jadi ni adalah saki-baki kencingan.

Tapi ramalanku salah belaka. Bila aku dah masuk ke tandas, aku kencing dengan normal. Tapi masih ada satu jenis cairan lain lagi yang keluar. Masa ni, mata aku yang kelat-kelat bangun dari tidur tadi jadi bulat. EH APA NI? Aku mula cemas sikit. Aku keluar dari tandas (mestilah lepas istinjak dan flush lubang tandas) dan berdiri atas alas kaki. Masa tu, aku dapat tengok jelas aliran jernih bersama sedikit lendir macam putih telur mula membasahi alas kaki.

ABANG! AIR KETUBAN SAYANG PECAH!

Aku rasa ada la dalam 7 ke 8 kali aku ulang ayat yang sama sebab suami aku tidur nyenyak. Bila dia sedar, terus dia tersentak. Suami aku tanya - SO NAK PERGI HOSPITAL LA NI? Aku mengangguk.

Dalam aku cuba bertenang, bersiap seperlahan mungkin sambil cuba menerima hakikat realiti yang terjadi – suami aku pulak macam lipas kudung. Dia bergerak pantas, menyumbat segala macam beg yang aku dah siapkan, masukkan macam-macam alat lagi, masak air, salin baju…sungguh efisien! ABANG, ISYAK DULU LA. TADI KITE TIDO AWAL, BELUM ISYAK. LAGIPUN TAK SAKIT NI. MESTI LAMA LAGI NAK BERANAK. Suami aku setuju.

Jadi kitorang pun solat berjemaah. Hati aku mula berdebar tapi aku cuba tenang. Sepanjang solat, aku memang dapat rasa telekung aku terus-menerus dibanjiri walaupun aku dah pakai berlapis-lapis tuala wanita overnight yang tebal. Selesai solat, aku keluarkan beberapa helai tuala tebal dari almari. Suami aku sibuk membancuh kopi dalam termos untuk mengelakkan dia ngantuk. Aku hulur tuala tadi pada suami aku – ABANG BENTANGKAN TUALA NI ATAS SEAT KERETA, KARANG BANJIR PULAK SEAT DENGAN KETUBAN NI. Serius aku sungguh bangga dengan kebolehan aku berfikir secara waras, kreatif dan kritis pada saat genting ni!

1.30 pagi, kitorang pun bergerak ke Hospital Penawar Pasir Gudang. Sepanjang perjalanan, aku dan suami berborak perihal lain supaya aku tak melayan rasa nervous dan takut. Mungkin kerana trafik sangat lancer, perjalanan yang selalunya makan masa paling kurang pun 40 minit menjadi 30 minit je. Alhamdulillah dapat parking betul-betul depan pintu masuk kaunter pendaftaran hospital.

Lepas mendaftar, kitorang dibawak ke bilik bersalin di Tingkat 3.


“SEBAB AWAK DAH PECAH AIR KETUBAN, AWAK KENA TERUS MASUK LABOUR ROOM YE. SAYA DAH CALL DOKTOR. DIA AKAN DATANG, TAPI LAMBAT SIKIT. SEKARANG AWAK PERGI KENCING DAN PAKAI KAIN BATIK YE.” Pesan sorang nurse ni.


Aku datang berseluar palazzo dan berbaju labuh. Jadi sementara tunggu suami aku patah balik ke kereta untuk ambik kain batik, aku baring je dulu atas katil wad bersalin. Aku ditambat – dipasang drip dan CTG (cardiotocography) untuk monitor kadar denyut jantung bayi.


“SAYA CHECK JALAN DULU YE” kata nurse tadi lagi.
Aku mengangguk seram sebab boleh agak rasa sakit yang bakal menjelma bila diseluk.
“OK AWAK BERTENANG JE. KALAU AWAK LAWAN, AKAN JADI SAKIT NAK SELUK NI.” Tambah nurse tu lagi


Zass! Sakit gila! Tapi nurse masih tak puas hati. Jalan gagal dicapai katanya. Nurse tadi panggil sorang lagi nurse lain untuk tolong. Sekali lagi, aku dileter supaya tak melawan untuk memudahkan jalan diperiksa. (INFO: Jalan tu merujuk kepada pembukaan serviks/pintu rahim sebagai persediaan bayi untuk keluar tengok dunia).

Sekali lagi aku diseluk oleh nurse kedua. Gagal! Ok sekali lagi! Gagal! Aku dah tak mampu nak tahan lagi dah. Ini lebih sakit dari masa aku kena seluk dengan Trans Vaginal Scanning (TVS) masa nak periksa keadaan rahim aku zaman berTTC dulu. Tapi nurse kedua ni buat kesimpulan – JALAN TAK BUKAK LAGI LA RASANYA, SEBAB TU TAK RASA APA. MUNGKIN TAK SAMPAI 1 CM PUN.

Aku dibiarkan berbaring di bilik bersalin. Masa tu jam menunjukkan pukul 3 pagi. Suami aku dah mengantuk amat sangat. Tapi dalam bilik bersalin tu cuma ada kerusi je, dan tak selesa untuk dia tidur. Macam mana pun, aku merayu dekat suami aku supaya jangan tinggalkan aku sorang-sorang. Suami aku keluar sekejap untuk ke kedai sebab aku dah mula lapar. Dia belikan aku air Milo kotak besar dan roti Gardenia Butterscotch. Selera aku mati. Tapi aku makan jugak kurma dan hirup sikit Milo demi memastikan diri aku bertenaga.

Sekali-sekala nurse akan masuk meninjau rekod CTG aku. Semua normal katanya. Tapi aku ni sendiri masih belum rasa sebarang kesakitan. Mungkin jugak sebab aku dah selalu senggugut teruk jadi aku tak rasa contraction manja ni – kesimpulan awal aku. Dalam pukul 5 pagi, Dr. Asmah sampai.


“SAYA CHECK JALAN YE.”


Ah! Itu statement pendek yang paling menyeramkan. Tapi kalini aku berazam untuk cuba bertahan sebaik mungkin. Percubaan pertama – gagal! Aku dah meraung mengalahkan orang nak bersalin. Percubaan kedua pulak – JALAN MASIH TAK BUKAK.


“PINTU RAHIM AWAK TINGGI DARIPADA BIASA NI, MEMANG SUSAH NAK PERIKSA JALAN. TAPI MASA SAYA DAPAT CAPAI TADI, MEMANG BELUM BUKAK. BUKAK PUN SIKIT JE TAK SAMPAI 1 CM. TAKPELAH, KITA TUNGGU SAMPAI PUKUL 8 PAGI” terang Dr. Asmah


Sepanjang aku berbaring dalam labour room, aku tak ingat berapa kali nurse terpaksa tukar alas aku berbaring sebab sentiasa lencun dengan air ketuban. Oleh sebab aku dah tak dapat rasa gesa nak kencing, aku dipasang dengan tiub kencing. Lagipun ini untuk mengelakkan aku berjalan ke mana-mana supaya dapat melambatkan proses kehilangan air ketuban.



Menjelang Subuh, aku mula rasa sikit contraction. Kadang-kadang rasa tu kuat sampai aku genggam tangan suami aku sekuat memerah santan dari kelapa tua. Pukul 8 – Dr. Asmah datang lagi. Aku berharap sangat jalan dah bukak. Tapi hampa. Masih kurang dari 1 cm.


“OK SEKARANG AWAK DAH 8 JAM KELUAR KETUBAN TANPA HENTI DAN SAYA NAK BAGITAHU, SELALU LEPAS 24 JAM KETUBAN KELUAR – BAYI AKAN BERDEPAN DENGAN RISIKO JANGKITAN. DALAM KES NORMAL, SELALUNYA IBU AKAN MULA RASA CONTRACTION BILA KETUBAN KELUAR MACAM AWAK NI. TAPI AWAK PULAK RASA SIKIT-SIKIT JE. LEPAS 8 JAM PUN JALAN MASIH TAK SAMPAI 1 CM. DITAMBAH PULAK PINTU RAHIM AWAK TINGGI, JADI SAYA PUN TAK BOLEH NAK SELUK TOLONG BUKAKKAN JALAN. SEKARANG ADA 2 PILIHAN – SAMA ADA UNTUK MASUKKAN UBAT INDUCE BERSALIN PUKUL 10 NI ATAU SURGERY. PADA PENDAPAT SAYA, ELOK AWAK TERUS SURGERY SEBAB DALAM KEADAAN AWAK MACAM NI…SAYA TAK RASA INDUCED LABOUR AKAN BERHASIL UNTUK AWAK. DAN KALAU GAGAL, AWAK AKAN PERLU JALANI SURGERY JUGAK. “ Dr. Asmah bercerita panjang lebar.


Aku dan suami terkedu. Harapan untuk beranak normal dah semakin kelam. Aku telefon Mak dan Kakak aku mintak pendapat. Aku tahu kalau aku memilih untuk beranak secara induced, aku akan berdepan rasa sakit berganda. Dalam keadaan aku yang dah separa lembik ni – aku risau aku tak mampu. Dalam pada aku berbincang dengan suami aku, ada sorang kawan aku datang beri kata-kata semangat.


“KAU JANGAN RISAU SANGAT. BERANAK CARA APA PUN TAK KISAH, ASALKAN KAU DENGAN BAYI SELAMAT. “Nama kawan aku tu Awatif (Sorry. Dia dah kahwin dan beranak satu bakal beranak dua)


Akhirnya, aku memutuskan untuk beranak secara Lower Section Caesarean Section (LSCS). Aku memilih untuk dibedah secara separa sedar supaya aku dapat menyaksikan operasi mengeluarkan anak aku. Proses menandatangani borang dan taklimat pun dimulakan. Jam 10 pagi, aku disorong ke bilik bedah. Tiba-tiba, masa aku dipindahkan dari katil bilik bersalin ke katil bilik bedah – air ketuban aku mencurah sebanyaknya. Dan dalam masa yang sama, aku didatangi rasa sakit yang melampau! Aku dapat rasa perut aku bergegar-gegar. Dengan baju bedah yang terselak, aku dapat tengok depan mata aku sendiri keadaan perut aku yang meleper dan ada satu figur manusia di sebalik lapisan kulit perut aku. Figur tu seolah meronta dan menggelabah mencari jalan keluar. Satu abdomen aku sakit amat sangat!

Aku tak dapat menahan rasa sakit dan mula meraung macam orang hilang akal. Aku rentap pemegang katil sampai nak tercabut. Semua orang yang ada di sekeliling aku turut menggelabah. Semuanya terlalu tiba-tiba. Dalam aku menahan sakit, aku dengar butir-butir bicara beberapa doktor dan pakar dekat situ – aku perlu dipengsankan! Beberapa minit lepas tu, aku ditekup dengan gas yang baunya manis-manis. Dan segalanya terus kabur~


“PUAN, BANGUN PUAN. SEMUA DAH SELAMAT, BAYI PUAN SELAMAT LAHIR DAH.”satu suara mengejutkan aku sambal muka aku ditampar manja.


Dalam keadaan mamai dan separa sedar, aku mula merepek entah apa-apa. Tapi yang pasti, semua yang aku repekkan adalah perihal kerja. Perihal berapa batang pile, T-beam, barge dan lain-lain. Komited sungguh aku ni! Ada satu lagi suara yang suruh aku berzikir daripada merepek entah apa-apa. Jadi sepanjang aku disorong ke wad bersalin, aku memang berzikir je ikut suara tu. Keluar dari bilik bedah – abah, mak, mak abah mentua dan suami aku ada menunggu. Aku masih berzikir sambal diselangi merepek hal kerja lagi.

Aku mula betul-betul sedar bila dipindahkan ke katil di wad, aku disuruh mengengsot. Masa tu aku terasa sakit amat sangat pada bahagian ari-ari. Terus jadi seram sejuk dan menggigil. Aku diselimutkan dengan 2 helai selimut. Dalam masa aku meneliti muka-muka senyuman ahli keluarga, sorang nurse menyorong masuk anak aku.


Hah sekian dulu lah cerita aku. Nanti aku sambung cerita pasal kisah selepas tu pulak ye.

No comments:

Post a Comment